RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

11:40 am
KIRI: LUNA DAN HUGE

MEXICO CITY: Tiga jurufoto yang bertugas membuat liputan di Veracruz, wilayah timur Mexico yang dilanda keganasan, ditemui mati, semalam.


Mayat mereka ditemui dalam beg plastik yang dicampakkan ke dalam parit.


Ia berlaku kurang seminggu selepas seorang wartawan penyiasatan sebuah majalah dipukul dan dijerut di rumahnya di negeri yang sama.

Kumpulan Kebebasan Akhbar berkata, ketiga-tiga jurugambar itu melarikan diri buat sementara waktu selepas menerima ancaman bunuh tahun lalu.


Kumpulan berkenaan mendesak kerajaan Mexico bertindak serta-merta untuk menghentikan serangan yang mensasarkan wartawan.


Sekurang-kurangnya tujuh wartawan, jurugambar, bekas wartawan dan bekas jurugambar mati dibunuh di Veracruz dalam masa 18 bulan.

Seperti kebanyakan mangsa yang dibunuh, tiga jurugambar yang ditemui semalam adalah antara segelintir wartawan yang masih terbabit dalam membuat liputan berita mengenai kejadian jenayah di negeri itu.


Ancaman dan pembunuhan menyebabkan kebanyakan media bimbang untuk melaporkan keganasan berkait dengan dadah.

Kini, hanya media sosial dan blog yang membuat laporan mengenai jenayah serius.


Mexico menjadi negara paling bahaya untuk wartawan sejak beberapa tahun kebelakangan. Mereka sering menjadi sasaran ketika tindakan kerajaan terhadap kartel dadah dan permusuhan antara kumpulan penjenayah menyebabkan puluhan ribu pembunuhan, penculikan dan peras ugut.


Pendakwaan dalam kes membabitkan pembunuhan wartawan tidak pernah dilakukan.


Pembunuhan terbaru berlaku di bandar Boca del Rio, tempat polis menemui mayat empat orang, semalam. Penemuan itu adalah hasil maklumat orang ramai yang melihat empat beg plastik mencurigakan dalam parit, kata Pejabat Peguam Negara Veracruz. Mayat itu mempunyai kesan diseksa dan dikerat.


Seorang mangsa dikenalpasti sebagai Guillermo Luna Varela, jurugambar bahagian jenayah untuk laman web www.veracruznews.com.mx.




Dia dilihat kali terakhir oleh wartawan tempatan ketika membuat liputan mengenai kemalangan kereta petang kelmarin.


Menurut seorang rakan yang enggan dikenali, Luna, berusia 20-an dan anak saudara kepada seorang lagi mangsa yang mayatnya turut ditemui di tempat sama, Gabriel Huge.


Huge berusia awal 30-an dan bekerja sebagai jurugambar untuk akhbar Notiver sehingga musim panas lalu apabila dia melarikan diri setelah dua rakan wartawannya dibunuh.


Huge kembali bekerja sebagai wartawan di Veracruz baru-baru ini tetapi tidak dapat dipastikan bertugas di bahagian mana.


Pegawai berkata, mangsa ketiga ialah Esteban Rodriguez, jurugambar akhbar AZ di bahagian jenayah sehingga musim panas lalu apabila dia juga melarikan diri. Dia kemudian pulang tetapi bekerja sebagai jurukimpal.

0 Member Sempoi:

Post a Comment