RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

4:32 pm

WOROUD Sawalha sedar yang dia tidak akan memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik di London. Malah, adalah mustahil baginya untuk menghabiskan pusingan pertama persaingan acara 800 meter.

Pun begitu, bagi Woroud yang berusia dalam lingkungan 20 tahun dan tiga rakannya yang bertanding menggunakan bendera Palestin - ia dianggap sebagai soal maruah diri.

Namun, penyertaan Palestin, yang memperjuangkan buminya daripada penguasaan Israel, sedangkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) belum mengiktiraf negara Palestin, tetapi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), masing-masing sejak 1996 dan 1998 telah membenarkan atlet  bertanding di bawah bendera Palestin.

"Ini sangat bermakna bagi saya di mana sebagai wanita, saya berjaya mewakili Palestin. Saya akan mewakili kampung saya, Asira ash-Shamaliya, Palestin dan universiti saya," katanya yang menyasarkan pingat emas ketika ditemui CNN.

Asira abu-Shamaliya, yang terletak di utara Tebing Barat, merupakan sebuah perkampungan yang mempunyai kurang daripada 10,000 penduduk, di mana protes serta gas pemedih mata merupakan sebahagian daripada kehidupan harian di wilayah mereka.

Penduduknya terus berjuang untuk kemerdekaan daripada Israel. Woroud yang mudah dikenali kerana bertudung hitam, berseluar dan panjang lengan panjang, tahu bahawa apabila dia melangkah ke London, dia tidak hanya mewakili dirinya.

"Perkara ini akan memberi kesan ke atas kawan-kawan perempuan saya dan sukan di Palestin. Mungkin pandangan mereka akan berubah dan mula mengamalkan sukan dengan cara yang lebih profesional dan akan merasa lebih bebas di hadapan orang ramai," katanya.

OIC berharap bahawa Sukan Olimpik 2012 akan menjadi kejohanan pertama menampilkan atlet wanita dalam setiap pasukan yang menyertai temasya. Sebelum ini, tiga pasukan tidak pernah menghantar pasukan wanitanya.

Sementara itu, Palestin yang memulakan persaingan di Sukan Olimpik di bawah bendera mereka sejak 1996, mula menghantar atlet wanita mereka yang pertama pada 2000.

Bagaimanapun, Woroud, yang diberitahu enam bulan lalu bahawa dia akan pergi ke London, percaya ia satu petanda penyertaan wanita dalam kejohanan sukan sudah mula diambil perhatian dalam wilayah Palestin.

Dia menyertai pertandingan peringkat antarabangsa pertama awal tahun ini iaitu kejohanan dunia tertutup di Istanbul dengan catatan masa dua minit 51.87 saat.

Memandangkan dia terpaksa berhadapan dengan penyediaan dan sumber latihan yang terhad di tanah airnya, Woroud tahu bahawa pungutan pingat berada di luar jangkauannya dan dia berazam untuk meningkatkan lagi catatan masa peribadinya.

"Keajaiban akan berlaku dengan pertolongan Tuhan dan saya berharap akan dapat menghasilkan yang baik. Oleh kerana mereka memilih saya untuk ke Olimpik, jika catatan masa larian saya boleh berubah dari empat minit, di bawah tiga minit, saya lihat ia sebagai satu peningkatan besar," katanya.

Seorang lagi atlet olahraga, Bahaa al-Farra yang berasal dari sebuah negara yang sedang berperang dan serba kekurangan dari segi fasiliti sukan, dia terpaksa membuat latihan lariannya di jalan-jalan berlubang di Gaza sambil mengelak kereta, kuda dan kereta sorong yang sedang berjalan.

Seperti Woroud, atlet 400 meter itu bergantung pada jemputan IOC untuk layak bersaing di London kerana kedua-dua pihak telah mencapai standard yang diperlukan.
Apabila tiada latihan, Bahaa bekerja di sebuah gim awam dengan struktur dinding konkritnya yang kotor dan putih lusuh.

“Saya memerlukan trek yang sesuai untuk berlatih kerana sehingga kini, saya hanya berjalan di atas jalan raya atau di atas pasir Palestin," katanya.

Oleh itu, ujar Bahaa lagi, apabila tiba di London, dia bukan sahaja mempunyai prospeks yang besar untuk beraksi buat pertama kalinya di Olimpik, malah dia juga berharap kejohanan kali ini akan menjadi platform kepadanya untuk membiasakan diri dengan keadaan yang tidak dikenali.

"Mudah-mudahan, kekurangan alat-alat latihan tidak akan memberi kesan kepada saya, dan saya boleh membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh bersaing walaupun tanpa mereka," katanya.

Bagi Bahaa, bersaing di London hanyalah permulaan kepada kerjaya olahraganya untuk jangka masa panjang.

“Impian saya adalah untuk menjadi seorang pelari yang terkenal di dunia dan bersaing dengan juara dunia dalam pertandingan di luar negara dan berharap saya boleh mencapai impian saya dalam masa terdekat.

"Saya juga berharap untuk melakukan sesuatu untuk Palestin dan menunjukkan kepada dunia bahawa Palestin berhak untuk hidup dan berdiri di atas podium," katanya.


* Diterjemahkan daripada artikel asal CNN

0 Member Sempoi:

Post a Comment