RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

6:53 pm

KEPUTUSAN PAS untuk menangguhkan Muktamar tahunan parti tersebut untuk digantikan dengan Perhimpunan Raksasa di Alor Setar pada 1hb Jun nanti, menerima pelbagai reaksi luar biasa dari pendukung Pakatan Rakyat di alam siber.

Ada yang sambut baik, ada yang kurang senang, malah, ada juga yang membandingkannya dengan perhimpunan raksasa UMNO yang diwar-warkan menerima sambutan hangat itu.

Bagi 2 kelompok yang terakhir itu, mereka berpandangan PAS perlu menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi pilihanraya dan mengelak dari terikut-ikut dengan tindakan terdesak UMNO untuk menyaingi Bersih 3.0.

Secara peribadi, penulis tidak ada masalah dengan penganjuran perhimpunan raksasa tersebut.  Penulis juga tidak ada masalah dengan keputusan melantik Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengarah himpunan tersebut, walau apa pun yang pernah penulis gambarkan mengenai pemimpin tersebut sebelum ini (hasrat menjadi Perdana Menteri).

Yang menjadi masalah kepada penulis ialah anggaran seramai 100 ribu orang pengunjung yang diletakkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang.

Jumlah 100 ribu ini pada pandangan penulis sangat kecil, walaupun jika perbandingannya hanyalah Perhimpunan Ulang Tahun UMNO ke-66 di Bukit Jalil yang baru lepas.  Perhimpunan itu pun dikhabarkan sudah melebihi 100,000 orang dan mengapa PAS menyasarkan jumlah yang hampir sama, itu yang menghairankan.

Angka 100,000 ribu yang penulis sebutkan di atas adalah dianggarkan dari gambar-gambar peserta yang memenuhi stadium (di tempat duduk dan di atas padang), bukan kerana terpengaruh dengan angka yang diberikan media arus perdana, mahupun penyokong UMNO sendiri.

Selain tidak menepati garis panduan yang telah dipersetujui bersama, ia juga menunjukkan bahawa PAS seolah-olah tidak yakin mampu mengumpulkan jumlah peserta yang ramai, selepas kejayaan himpunan Bersih 3.0 yang mencecah 150,000 orang (di Kuala Lumpur sahaja).

Ini tidak sepatutnya berlaku, kerana selain soal pengaruh yang semakin bertambah pasca Bersih 3.0 tadi, perhimpunan raksasa itu juga diadakan di Alor Star yang berada dibawah pimpinan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS.

Justeru, penulis tidak langsung melihat sebarang masalah untuk PAS mendapatkan jumlah peserta yang jauh lebih ramai dari yang disasarkan pada peringkat awal, walaupun dikhabarkan tidak ada pengangkutan disediakan untuk peserta dari luar hadir.

Ini bukan satu masalah besar kerana penyokong PAS sudah diketahui ramai, sanggup mengeluarkan belanja sendiri demi menjayakan himpunan seumpama ini yang dianjurkan parti.

Jadi penulis menggesa PAS Pusat, terutama Mahfuz Omar supaya mengkaji semula sasaran seramai 100,000 orang peserta ini, dengan satu jumlah yang lebih munasabah dengan kekuatan PAS sekarang.

Soal ini walaupun kelihatannya remeh, tapi perlu diberi perhatian berat kerana ia turut melibatkan imej dan jenama Pakatan Rakyat itu sendiri.

0 Member Sempoi:

Post a Comment