KURANG MATANG, NAFSU
KUALA LUMPUR: “Dalam keadaan marah dan geram apa saja boleh berlaku. Perbuatan yang keterlaluan turut menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan,” kata Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar.
Dr Osman berkata, kurang matang dalam membuat keputusan menyebabkan golongan remaja bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan kesan di sebalik perbuatannya itu akan memberi kemudaratan kepada pihak lain.
“Melihat senario kes yang berlaku, mungkin perasaan marah terhadap perbuatan buruk dilakukan ayah terhadap ibunya yang keterlaluan menyebabkan remaja berkenaan bertindak sedemikian (ke tahap membunuh).
“Dalam usia sebegitu muda, remaja seperti ini tidak matang dalam membuat keputusan kerana dalam jiwa mereka hanya tersemat perasaan ingin membalas dendam, tetapi tidak pula ke tahap membunuh (tanpa niat),” katanya.
Beliau diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan seorang remaja lelaki menikam perut dan dada bapanya dengan dua bilah pisau hingga mati sebelum membuat laporan polis palsu kononnya mangsa diserang perompak yang memecah masuk rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai, Ipoh awal pagi kelmarin.
Suspek terbabit berusia 15 tahun yang juga anak sulung mangsa turut menyelerakkan perabot dalam rumah supaya kejadian itu kelihatan seperti rompakan.
Sumber polis berkata, mangsa seorang jutawan syarikat kayu dikenali sebagai Jaswant Singh Udan Singh, 40 dan kejadian berlaku jam 1.30 pagi.
Menurutnya, suspek yang masih bersekolah di tingkatan tiga itu membunuh bapa kandungnya kerana berang dengan sikap mangsa yang sering memukul ibunya.
Sumber polis berkata, polis bergegas ke rumah mangsa dan mendapati mangsa terbaring berlumuran darah manakala keadaan dalam rumah bersepah-sepah seolah-olah digeledah.
Dr Osman berkata, tidak mampu mengawal diri dalam mendepani masalah menyebabkan golongan remaja gagal membuat pertimbangan, selain tidak tahu akan kesan dan akibat terhadap perbuatan yang dilakukan.
“Sebab itu kalau dilihat pada kes yang berlaku, remaja berkenaan tidak berfikir panjang dan cuba mengambil keputusan sendiri termasuk merancang strategi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan harapan kes berkenaan dapat ditutup.
“Tetapi, mereka tidak sedar pihak berkuasa juga mempunyai kepakaran dan akhirnya tindakannya (menutup kes) memakan diri sebelum diberkas,” katanya.
Katanya, dalam membuat sebarang penilaian, terdapat beberapa faktor lain perlu diambil kira termasuk masalah personaliti diri dihadapi remaja berkenaan.
terkejut tgk gmbar pompuan tu... hmmmm.......
ReplyDelete