RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

6:38 pm

Band Avenged Sevenfold dari California, Amerika Syarikat yang juga dikenali dengan nama singkatan A7X dianggotai oleh M. Shadows (vokalis), Synyster Gates (gitar utama), Zacky Vengeance (gitar) dan Johnny Christ (bass).


Posisi pemain drum A7X, James Owen Sullivan atau nama pentasnya The Rev telah diganti oleh Arin IIejay, selepas The Rev ditemui mati di rumahnya akibat kombinasi ubat serta alkohol yang diambil secara berlebihan pada 28 Disember 2009.

Meskipun selepas kematian The Rev, perjuangan muzik A7X diteruskan dan sebuah lagu berjudul So Far Away daripada album kelima mereka, Nightmare, dicipta khas untuk The Rev.

Legenda Gitaris kiri: Zacky Vengeance dan Synyster Gates


Malam Ahad lalu, band yang berpaksikan genre heavy metal itu telah menggegarkan Kuala Lumpur dengan konsert julung-julung kali mereka di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Mereka muncul di atas pentas tepat pada pukul 9 malam dan beraksi hampir dua jam di hadapan 15,000 peminat yang hadir.

vokalis Avenged Sevenfold: M Shadows


Lautan manusia yang majoritinya memakai baju hitam bersorak gembira sambil mengangguk-angguk kepala mengikut rentak irama lagu yang didendangkan.

Buat peminat A7X, inilah saat yang dinantikan mereka apabila dapat menyaksikan sendiri band yang tubuhkan pada tahun 1999 itu secara langsung di depan mata.




Ternyata vokal M. Shadows tidak mengecewakan, meskipun kebanyakan lagu A7X memerlukan dia menjerit, vokal masih kekal bertenaga daripada awal hingga ke akhir konsert.



Suasana tapak konsert yang rancak bertukar sayu, apabila mereka mendendangkan lagu So Far Away malah, peminat turut mengeluarkan pemetik api sebagai simbolik memperingati The Rev.

"Lagu ini khas untuk Jimmy (panggilan untuk The Rev), setiap kali lagu ini dinyanyikan, saya rasa seperti Jimmy sedang melihat kita semua," kata M. Shadows.

Selain lagu So Far Away, A7X turut mendendangkan sebanyak 10 buah lagu lain daripada album pertama sehingga album terbaharu mereka.

Lagu popular band itu seperti Bat Country, Afterlife dan juga Buried Alive turut didendangkan.

Memulakan persembahan dengan lagu Nightmare, Critical Acclaim dan Second Heartbeat, pujian harus diberikan kepada A7X apabila mereka bermain dengan cukup kemas dan bertenaga.

Tidak ada cacat cela yang membingitkan telinga atau aksi luar biasa yang mengejutkan khalayak. Sistem bunyi yang baik menambahkan lagi kehangatan konsert.


Vokalis AX7, M. Shadows cukup bijak mengawal penonton, apa sahaja permintaannya diturutkan sahaja oleh peminat. Sesekali, dia berbicara bersama peminat.

"Semua sudah penat? Kami gembira berada di Malaysia buat pertama kali selepas mengadakan konsert di Singapura. Semua yang ada di sini harus bergembira dan menikmati malam ini," ujar M. Shadows sambil disambut dengan jeritan peminatnya.

Sebelum konsert berakhir, A7X mendendangkan lagu Unholy Confessions, kemudian peminat dipinta oleh M. Shadows untuk melakukan gerakan pusingan di tengah-tengah tapak konsert sambil pihak A7X merakamkan aksi itu untuk dimuatkan dalam DVD konsert jelajah mereka.

Rata-rata peminat, pulang dengan perasaan puas hati apabila A7X memberikan persembahan yang menepati piawaian mereka.

Konsert A7X Live di Kuala Lumpur dibawakan oleh Fat Boys, Tune Talk dan JS Concert.



0 Member Sempoi:

Post a Comment