A Samad Said berkongsi pengalamannya menyertai Bersih 3 0 di Kota Bharu. |
KOTA BHARU - Pakatan Rakyat (PR) hanya akan menggulingkan kerajaan menerusi pilihan raya yang bersih bukannya melalui kekerasan seperti dakwaan pihak tertentu.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, PR nekad menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun dakwaan yang mengatakan pihaknya akan menggunakan kekerasan hanya fitnah semata-mata.
“Betul, kita nak gulingkan kerajaan tetapi kita akan melakukannya berdasarkan pilihan raya bersih dan bukannya melalui kekerasan pada himpunan yang lalu seperti didakwa,” katanya sempena Ceramah Perdana Pasca Bersih 3.0 di sini.
Turut hadir dalam ceramah yang dihadiri 10,000 pengunjung, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A Samad Said dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke.
Muhamad menegaskan himpunan Bersih 3.0 yang disertai ratusan ribu rakyat itu menakjubkan dengan penglibatan pelbagai bangsa dan ia menunjukkan rakyat bersatu untuk memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang.
“Sekiranya tuntutan rakyat ini tidak dipenuhi saya berharap pihak Bersih boleh memerintahkan kita untuk melaksanakan Bersih 4.0 dan dianggarkan kira-kira satu juta orang akan berhimpun dan ada yang menyatakan kesungguhan menyokong himpunan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad meragui panel Siasatan Bebas Bersih 3.0 yang diketuai oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar kerana beranggapan masih ramai bekas pegawai dan peguam yang boleh dilantik.
Mohamad turut menegaskan beliau tidak pernah memusuhi pihak polis, namun menentang kekejaman yang dilakukan oleh segelintir anggota keselamatan itu yang bertindak kejam ketika menyuraikan perhimpunan.
Sementara itu, Samad berkata, golongan sasterawan menyedari kepentingan keadilan dalam pemerintahan yang sebelum hanya diperjuangkan oleh golongan politik sahaja.
“Buktinya, Bersih 1.0 digerakkan golongan kuasawan (berkuasa), namun Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 bukan lagi dikepalai orang politik dan pada awalnya saya hadir memberi sokongan sahaja, namun diminta berada di barisan depan sebagai pengerusi bersama Bersih 3.0 bersama Datuk Ambiga,” katanya.
Anthony dalam ucapannya berkata, Bersih 3.0 pada 28 April lalu mendapat sokongan luar biasa daripada anak muda Cina yang dianggarkan kehadiran mencecah puluhan ribu.
0 Member Sempoi:
Post a Comment