RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

5:21 pm

INI adalah persoalan yang telah lama berlarutan, adakah melakukan seks akan menjejaskan persembahan golongan atlet?

Isu yang dianggap rumit tetapi menarik ini pernah dibangkitkan dalam satu kajian ahli falsafah Rome, Gaius Plinius Secundus (23 SM) atau lebih dikenali sebagai Pliny the Elder, yang mungkin barangkali mengutarakan persoalan pertama dikemukakan untuk pandangan umum.


''Atlet yang lembap dipengaruhi oleh aktiviti melakukan hubungan seks,'' dalam pandangannya.

Namun, adakah hujah itu dianggap satu penerimaan umum sehingga ke hari ini? Pandangan ini percaya kekerapan melakukan seks akan mempengaruhi kesihatan yang menurun dan kehilangan banyak tenaga.

Bagaimana pula dengan keadaan sekarang? Dalam satu kajian Universiti L'Aquila di Itali pada tahun 1999 telah membuktika bawah tahap testosterone bagi seorang lelaki akan meningkat selepas mengadakan aktiviti seks.

''Jadi, jika ahli sukan ingin lebih agresif, adalah lebih baik mengadakan seks,'' kata Dr. Emmanuele Jannini.

Atas penjelasan itu, ramai orang Itali khususnya atlet mereka mengamalkan nasihat tersebut.

Bagaimana pula dengan masyarakat Britain yang lebih praktikal dalam banyak isu?

Nick Fellows dari Pusat Perubatan Olimpik Britain (BOMC) berkata, setakat yang pihaknya sedia maklum, tidak ada satu garisan panduan rasmi tentang perkara itu kerana ia terpulang kepada individu.

Penjelasan Fellows sependapat dengan bekas pengarah pertama BPMC, Craig Sharp. Daripada satu kajian yang dibuat oleh Sharp pada 1980-1983 mendapati tidak ada penemuan yang membezakan persembahan (kemampuan) sebelum atau selepas melakukan seks dalam tempoh temasya sukan sedang berlangsung.

Kesimpulan yang dibuat oleh Sharp membolehkan dia dicalonkan untuk satu anugerah di Itali pada tahun 1983.

Bagaimanapun, tidak semua yang bersetuju dengan orang-orang Itali. Dr. Pompilu Popescu, doktor perubatan Romania ke Euro 2000 mempunyai pandangan yang menongkah arus.

Dia memberitahu pemain-pemain bola sepak Romania tentang teori lembu jantan yang telah dikasi (ox) dan lembu jantan sempurna (bull).

Menurut Popescu, lembu kasi memiliki sifat-sifat tenang sebab nafsunya telah 'dimatikan' manakala lembu jantan sempurna bersifat sebaliknya, disebabkan pengaruh lingkaran hormon dalam badannya.

Inilah yang mendorong skuad Romania tidak mendekati wanita apatah lagi mengadakan hubungan seks dengan isteri atau teman wanita mereka sepanjang Kejohanan Euro itu berlangsung.

Amalan skuad Romania ini turut menarik perhatian jurulatih skuad bola sepak Nigeria, Festus Oningbinde ketika menyiapkan anak-anak buahnya untuk Piala Dunia.

''Pemain-pemain saya mesti memastikan diri mereka bersedia sepenuhnya termasuk soal kerohanian, dan ini dapat dicapai dengan menjauhkan diri mereka daripada wanita (seks).

''Mereka tidak boleh kelihatan layu ketika saat penting seperti ini,'' katanya sebelum kejohanan.

Namun, kesudahannya Nigeria gagal ke pusingan kedua dan Onigbinde akhirnya telah disingkir.

Antara pandangan yang diberikan datangnya daripada bekas 'orang kuat' pasukan, Clemens Westerhof: '' Bukan hubungan seks yang menyebabkan pemain-pemain muda itu penat, tetapi mereka (pemain) berjaga malam mencari aktiviti tersebut.''

Dalam pada itu, atlet sendiri mempunyai pandangan berbeza.

Bekas pemain hebat Brazil, Romario berkata: ''Penyerang yang baik hanya boleh menjaringkan gol apabila mereka mendapat hubungan yang baik sehari sebelum turun bermain.''

Pandangan Romario turut diakui pemain legenda Manchester United, George Best.

''Saya sendiri tidak merasai ada penurunan tahap persembahan apabila melakukan hubungan seks. Mungkin cara yang terbaik bukan sejam sebelum bermain tetapi sehari sebelum,'' katanya.

Namun, dalam satu laporan menyiarkan Best melakukan seks sejam sebelum perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Leeds pada tahun 1970.

''Saya seperti mengalami mimpi buruk ketika beraksi menentang Leeds. Saya hampir menjaringkan gol tetapi gagal dan terjatuh di atas bola,'' katanya yang dipetik dalam biografinya, Blessed.

Dalam pada itu tidak semua pemain bola sepak bersetuju dengan pandangan itu. Bekas pemain Arsenal Freddie Ljungberg berkata, melakukan hubungan seks pada malam sebelum perlawanan akan menyebabkan kakinya keras seperti konkrit.

Atlet pecut Britain, Linford Christie pula berpendapat, mengelak daripada melakukan seks akan membantu anda lebih agresif dan semangat seperti itu amat diperlukan.

Bagi legenda lompat jauh, Bob Beamon sempat melakukan hubungan seks sebelum bertanding dan lompatannya menggegarkan Sukan Olimpik 1968 di Mexico City apabila mencatat rekod dunia yang bertahan sehingga 23 tahun lamanya.

Tentang wanita pula, seorang saintis Israel, Alexander Olshanietzky berkata, atlet wanita akan menyajikan persembahan lebih hebat selepas mendapat kemuncak 'kepuasan' terutamanya bagi atlet lompat tinggi dan olahraga.

Bagaimanapun, pendapat itu disangkal oleh bekas gimnas Olimpik Britain, Suzanne Dando yang berkata: ''Saya tidak akan mengadakan hubungan sebelum bertanding. Biasanya seseorang itu akan keletihan selepas mengadakan hubungan.''

Namun, dalam satu kes melibatkan seorang pemain snuker, Paul Hunter yang ketinggalan 2-6 kepada lawannya, Fergal O'Brien pada babak akhir B&H Masters, seks telah merangsang semula semangatnya sehingga muncul juara.

''Saya diberitahu, dia (Hunter) dalam tekanan dan memerlukan ketenangan, jadi saya terus melakukan hubungan dengannya dan dia melupakan seketika kejohanan itu sebelum kembali menyambung perlawanan,'' kata teman wanita Hunter, Lindsey Fell.

Hunter kembali menyambung pertarungannya dan paling mengejutkan dia menang baki enam permainan untuk menjulang kejuaraan 10-9

0 Member Sempoi:

Post a Comment