RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

10:45 pm



KUALA TERENGGANU: Seorang remaja yang disyaki memecah masuk kediaman tidak berpenghuni milik seorang kontraktor di Kampung Palas Bukit Payung, Marang dekat sini tengah malam semalam, menerima padah apabila dia cedera terkena peluru penabur akibat tembakan yang dilepaskan pemilik rumah itu.


Remaja berusia 18 tahun, yang didapati positif dadah dan cedera di kaki itu ditahan polis di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 7.30 petang semalam. 

"Setelah pemeriksaan dijalankan, terdapat tiga biji peluru penabur pada kaki suspek dan dia kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah malam semalam, remaja terbabit bersama seorang lagi rakannya disyaki memecah masuk rumah kontraktor berusia 56 tahun itu ketika lelaki itu berada di sebuah lagi rumahnya di Kampung Binjai Bongkok, Marang.

"Kontraktor itu menerima panggilan telefon dari orang kampung mengenai kejadian itu dan beliau bersama empat lagi rakannya terus ke kediaman keduanya itu dengan berbekalkan sepucuk senapang patah miliknya.

"Kontraktor yang mempunyai lesen senjata api itu melepaskan tembakan apabila ternampak dua lelaki melarikan diri ke belakang rumah," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenalpasti seorang lagi rakan suspek dan kini melancarkan gerakan mencarinya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Sejata Api dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, katanya.

Manoharan menasihatkan orang ramai yang mendapat maklumat mengenai kejadian jenayah supaya menghubungi polis dan tidak mengambil tindakan sendiri.