MANUSIA SEMAKIN HILANG RASA BERSYUKUR
KEJADIAN vandalisme atau merosakkan harta benda awam kerap dilaporkan dan hal seperti itu memberi gambaran masih terdapat masyarakat kurang penghayatannya terhadap perintah Allah.
Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar bagi membina pelbagai kemudahan untuk rakyat. Justeru, kita sepatutnya memikul tanggungjawab memelihara dan menjaga segala kemudahan itu dengan sempurna.
Terdapat laporan bahawa Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan memberitahu, pihaknya banyak menerima aduan berhubung kelewatan jadual perjalanan MyKomuter.
Rata-rata pengguna pengangkutan awam itu tidak berpuas hati atas kelewatan itu.
Dr Aminuddin dalam jawapan balasnya memberitahu: “Kami hendak jelaskan kepada orang ramai bahawa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab, pihak KTMB terpaksa menghantar tren yang mengalami kerosakan ke depoh untuk dibaiki dan proses membaikinya mengambil masa.”
Hakikatnya, perbuatan vandalisme menyebabkan kesulitan kepada banyak pihak dan orang awam terpaksa menanggung kesannya. Dalam Islam, segala perbuatan yang boleh memudaratkan sangat dilarang keras.
Kita boleh teliti bagaimana Rasulullah mendidik sahabat dan kaum mukmin dahulu dalam hal ehwal berkaitan orang ramai.
Rasulullah menegah kita membuang air di kawasan takungan supaya tidak mendatangkan kesulitan kepada masyarakat.
Kita dinasihatkan mengelak daripada melepak di tepi jalan supaya tidak mengganggu perjalanan atau urusan pihak lain.
Seandainya kita menginsafi akan hari perhitungan di Padang Mahsyar kelak, pasti tidak tergamak berbuat sesuatu perbuatan yang dikategorikan sebagai mungkar.
Rasulullah ada berpesan: “Pada hari kiamat, tapak kaki seorang hamba tidak akan bergeser dari tempatnya, hingga ia ditanya umur (umur digunakan untuk apa), ilmu (apakah manfaat ilmu yang dimilikinya), harta (dari mana ia mendapatkannya dan dibelanjakan untuk apa) dan tubuh badan (digunakan untuk apa)” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Albani).
Seperkara lagi yang seharusnya tidak boleh kita lupakan ialah penegasan Allah bahawa setiap perbuatan dosa pasti akan diberikan balasan setimpal dengan kesalahannya di akhirat kelak.
Firman Allah: “Dan sesiapa berbuat kejahatan (dosa) walaupun sebesar zarah, nescaya akan dilihat (diberi balasan) kejahatan itu” (Maksud Surah Al-Zalzalah ayat 8).
Berdasarkan pesanan Rasulullah s.a.w dan peringatan Allah itu cukup untuk kita mengawal diri daripada terjerumus melakukan perbuatan dosa dan maksiat di dunia.
Allah memerintahkan manusia menjalani kehidupan dunia dengan suatu tatacara hidup berdisiplin tinggi dan menjadi manusia bermaruah unggul.
Allah berfirman: “Sesung�guhnya Kami menyuruh melakukan keadilan, membuat kebaikan dan memberi bantuan kaum kerabat serta melarang melakukan perkara keji, mungkar dan kezaliman. Dia mengajar kamu supaya kamu mendapat peringatan” (Maksud Surah An-Nahl ayat 90).
Itulah panduan yang disediakan Allah dan jika kita patuhi dengan sepenuhnya, manusia itu akan digolongkan sebagai mukmin yang kental imannya.
Jadi, penerapan nilai akhlak yang murni dalam sistem pendidikan di sekolah seharusnya dimuatkan dengan lebih mendalam berkaitan unsur akhlak tingkah laku bersosial termasuklah dalam aspek tanggungjawab memelihara dan menjaga prasarana awam.
Ibu bapa juga mesti menerapkan nilai sahsiah supaya anak membesar menjadi generasi yang tahu menghargai nikmat yang dikurniakan.
Sebab itulah Allah memberi amaran kepada kita supaya tidak merosakkan muka bumi dengan perbuatan keji. Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang berbuat bencana” (Maksud Surah Al-Qasas ayat 7).
Al-Faqih Abu Laith Samarqandi mengatakan ada tujuh perkara yang menjadi pra�syarat menjadikan seseorang sebagai mukmin bertakwa.
Daripada tujuh perkara itu, beliau menyenaraikan ciri berkaitan tangan. Orang bertakwa itu tangannya tidak pernah melakukan perbuatan sia-sia kecuali untuk taat kepada Allah.
Jadi, bagaimana tangan kita dapat digunakan untuk taat kepada Allah, sekiranya sering digunakan untuk membaling batu ke arah gerabak kereta api atau memecahkan cermin Mykomuter?
Bukankah perbuatan sebegini adalah kelakuan mungkar? Umat yang perkasa akan sentiasa bersyukur dan memanfaatkan apa saja nikmat yang diperoleh dan bukan merosakkannya.
Imam al-Ghazali ada mengatakan: “Syukur ialah mengetahui bahawa nikmat itu datangnya daripada Allah dan sedar betapa besarnya nilai nikmat itu. Akibat daripada itu, lahirlah rasa gembira dan ucapan terima kasih baik di dalam hati atau keluar daripada lidah dan seluruh anggota zahir.”
sumber:Metro
elakkan vandalisme..jadilah manusia yang sentiasa mengharagai kurniaan-NYA
ReplyDelete