MASSACHUSETTS: Seorang lelaki berusia 79 tahun yang berhijrah dari China baru-baru ini mengaku tidak bersalah semalam atas tuduhan membunuh isterinya.
Khamis lalu, polis di pinggir bandar New England, Shrewsbury di Massachusetts menemui Jieming Liu duduk di kerusi goyang dengan darah di tangan, mulut dan mukanya dalam kondominiumnya.
Menurut polis, isterinya yang berusia 73 tahun, Yuee Zhou ditemui di bilik tidur bersebelahan dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah di lengannya. Anak lelaki Liu memberitahu polis bapanya yang berketinggian 155 sentimeter dan seberat 35 kilogram tidak sedar apa yang telah dilakukan ketika itu dan berulang kali menyebut: “Ini bukan ibu kamu.” Di mahkamah Shrewsbury semalam, Penolong Pendakwa Raya, Michael D McHugh memberitahu, polis mendapati wanita tua itu sudah tidak bernyawa ketika polis tiba kira-kira jam 4.30 petang di kediaman itu, Khamis lalu.
Ketika polis tiba di kondominium itu mereka mendapati Liu berlumuran darah dan di kelilingi cebisan daging isterinya.
Rekod mahkamah menyebut dia memberitahu anak lelakinya, “Ini bukan ibu kamu” dalam bahasa Mandarin.
Liu didakwa melakukan pembunuhan kejam itu.
McHugh memberitahu mahkamah: “Dia mungkin memakan daging isterinya.” Pendakwa Raya Worcester Joseph D Early Jr turut berkata kebanyakan daging di lengan kiri Yuee hilang. Polis turut menemui beberapa jari bertaburan di sekitar kondominium itu. Early menyifatkan keadaan di kondominium itu sebagai ‘menggerunkan, pemandangan yang sukar dan sangat menakutkan,’ lapor telegram.com. Menurut pendakwa raya, Liu mendakwa dia bertindak mempertahankan diri.
Peguam belanya Michael Hussey memberitahu mahkamah Liu mungkin hidap alzheimer atau demensia.
Hussey berkata: “Liu kelihatannya tidak menyedari apa yang telah berlaku.
“Dia benar-benar bingung. Saya tidak fikir dia faham mengapa polis membawanya ke sini dan untuk apa.” Menurut Boston Herald, Liu dihantar ke Hospital Bridgewater untuk penilaian psikiatrik. -
sumber-- Abang Metro la beb