RANGKAIAN SOSIAL ANDA

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

11:13 am

Cincin RM5 Makan Tuan

SEBERANG JAYA – Gara-gara cincin RM5, seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih tiga jam di Bahagian Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas cincin yang dipakai tersangkut di jari dan tidak boleh dikeluarkan.

A Devika, 22, berkata, dia membeli cincin perak itu di sebuah pasar malam seminggu lalu dan tidak mempunyai masalah sehinggalah jari telunjuknya mula membengkak empat hari kemudian.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia tidak selesa dan cuba mengeluarkannya sendiri sejak Rabu lalu menggunakan pelbagai kaedah termasuk meletakkan losen dan sabun, namun gagal.

“Selepas usaha mengeluarkan cincin gagal, saya memutuskan untuk ke hospital, pada jam 4 petang kerana bimbang ia akan menjadi bertambah buruk,” katanya ketika ditemui di Bahagian Kecemasan HSJ.

Namun, usaha pihak hospital untuk cuba mengeluarkan cincin itu tidak berhasil, menyebabkan panggilan kecemasan terpaksa dibuat bagi meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM).

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba Perai, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan dari Bahagian Kecemasan HSJ pada jam 7.19 malam sebelum ke lokasi bersama sepasukan anggotanya.
Menurutnya, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan cincin berkenaan berikutan jari mangsa yang sudah membengkak hingga menghalang pengaliran darah.

Bagaimanapun, ia berjaya dikeluarkan dengan cara memotong cincin itu menggunakan 'ring cutter’, meskipun usaha itu mengambil masa kira-kira 15 minit untuk dikeluarkan.

Sementara itu, Devika yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia lega kerana cincin itu berjaya dikeluarkan, dan berterima kasih kepada pihak hospital dan bomba yang membantu mengeluarkannya.

“Mungkin cincin itu tidak sesuai dengan jari saya, sebab itu jari membengkak.
“Saya serik untuk memakai cincin lagi selepas ini tidak kira ia cincin mahal atau murah. Kejadian ini betul-betul membuatkan saya trauma. Mujur jari saya tidak apa-apa, cuma mengalami luka kecil dan berbekas,” katanya.