AKIBAT TERAJANG ISTERI
KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kontrak pelantar minyak yang didapati bersalah menendang isterinya sehingga keguguran diperintahkan melakukan kerja wajib selama empat jam setiap hari bagi tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Azman Mustapha mengguna pakai peruntukan Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dan mensabitkan kesalahan mengikut Seksyen 313 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mohd Amran Tullah Salleh, 25, dari Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini, sebelum ini didakwa dengan sengaja menyebabkan keguguran dengan tiada kerelaan apabila menendang perut isterinya, Siti Aishah Alias Saa, 23, yang mengandung tiga bulan selepas berlaku satu pertengkaran.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, di sini, jam 10 malam pada 5 Februari tahun lalu.