Bomba Pengsan Padam Api
Demi tugas, seorang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, pengsan sewaktu memadam api dalam kebakaran di sebuah gudang simpanan seramik dan barang plastik di Batu 4, Jalan Kapar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2.18 petang itu, Junaidi Mohd, 35, yang sedang memadam kebakaran tiba-tiba sesak nafas dan keluar dari premis dipenuhi asap hitam serta debu seramik sebelum terjatuh.
Tersentak dengan kejadian itu, rakan setugas mangsa memberikannya rawatan kecemasan sebelum dia dikejar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapat rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Menceritakan semula kejadian kebakaran gudang itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Mohd Hamizal Ainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kebakaran itu sebelum lima jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Kota Raja, Sungai Pinang, Seri Andalas dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, sewaktu tiba, api sedang marak sebelum 26 anggota bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah iaitu tempat simpanan barangan plastik, seramik serta kotak milik sebuah syarikat perniagaan Tembikar Wei Khing dan merebak ke keseluruhan bangunan kilang lama yang dijadikan stor.
“Sewaktu kejadian, terdapat 22 pekerja di dalam premis itu. Namun, mereka berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus bangunan gudang dan kerja memadamkan api sukar kerana kami tidak mempunyai bekalan air mencukupi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Katanya, punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang saksi, Khaslina Samad, 40, berkata, dia tergamam selepas melihat api marak dari kawasan gudang berkenaan.
Dia yang tinggal kira-kira 15 meter dari gudang berkenaan berkata, kurang daripada 10 minit, api sudah marak dengan begitu cepat sehingga menyebabkan api hitam terhasil daripada kebakaran itu.
“Walaupun keadaan rumah menjadi begitu kotor akibat debu dan asap hitam, tapi saya bersyukur kerana rumah kami selamat,” katanya.
0 Member Sempoi:
Post a Comment